Sesungguhnya matlamat hidup di atas
dunia fana ini hanya satu, adalah untuk tunduk kepada Allah yang Maha Esa dan
meraih redha Allah. Namun, acapkali jika kita cuba pandang di sekeliling kita,
ramai manusia zaman kini lebih mementingkan redha manusia berbanding redha
Allah. Seakan redha manusia itulah sumber kebahagian di dunia mahu pun akhirat.
Seakan redha manusia itulah penentu kehidupannya diberkati.
Redha manusia? Ya, redha manusia.
Jika disingkap kehidupan manusia... marcapada lebih menitik beratkan kepada
kemewahan, kesenangan, dan hiburan. Sebagai contoh; sesetengah manusia sekarang
berlumba lumba untuk menjadi cantik hanya kerana untuk mendapat pujian dan
layanan yang baik. Ada pula yang sanggup berbelanja lebih untuk memiliki barang
berjenama hanya untuk dijaja di mata orang lain.
Tidak salah untuk memakai barangan
berjenama, hanya yang kurang sedap di lihat jika ianya melebihi keperluan yang
ada sehingga ada yang hanya di pakai sekali dua kemudian di simpan buat koleksi
menambah harta. Andai dana tersebut diguna dan dibelanjakan untuk bersedekah,
alangkah baik dan murninya sikap sedemikian rupa?
Tidak juga salah untuk berfesyen
mengikut arus kota yang bertamadun. Namun, hanya kurang sedap di lihat jika
ianya berfesyen sehingga lupa pada halal dan haramnya. Tudung singkat yang
masih menampakkan bayangan leher dan rambut, mekap tebal menyilaukan pandangan
sehingga boleh menimbul syahwat pada yang melihatnya. Bukankah indah jika
bersederhana dan sempurna dalam mengikut syariat menutup aurat? Bukan sahaja
aurat dijaga rapi bahkan akhlak juga sentiasa menghiasi.
Sama-sama kira renungi diri, kelak
apabila kita pergi meninggalkan dunia ini, pasti kain putih jua yang akan
membaluti tubuh kita. Amalan mulia jualah sebagai 'make up' diri kita. Jika
cantik amalan kita, maka tentu 'cantik' jugalah diri kita bertemu denganNya.
Sama-samalah kita muhasabah, niat
di hati tu sentiasa diperbaiki agar segala yang kita lakukan hanya semata-mata
kerana Allah. Biarlah apapun yang manusia lain perkatakan, kerana yang tahu nawaitu kita hanya Allah
sahaja. Sesungguhnya niat kita itu penilainya adalah Allah, bukan manusia. Maka
setiap niat kita sandarkanlah ia hanya lillahitaa'la. Misalnya niat untuk
menutup aurat, biarlah kerana Allah ta'ala, jangan niat pakai tudung hanya
untuk cantik. Biar kita tidak cantik di mata manusia, asalkan kita cantik di
sisi Allah.
Justeru sama-samalah kita betulkan
niat, sucikan hati. Sedarlah, hidup di dunia ini hanya sementara tiada
kekalnya. Bukalah minda dan hati agar jangan mudah dan terlalu seronok
ditenggelamkan dengan kemewahan dan keseronokkan di dunia ini.
Sesungguhnya semuanya adalah
pinjaman Allah. Pinjaman bermaksud Allah boleh bagi dan Allah boleh tarik balik
nikmat tersebut bila bila masa sahaja tanpa kita mengetahui dan menyedarinya.
Saat kita diberi nikmat kepandaian, jangan lah kita gunakan ia kepada
kesesatan. Jika sesat, sukar untuk kita jumpa jalan pulang, terus terjerumus
dalam kesesatan melainkan Allah bagi hidayah.
Dan jangan lah sesama sekali kita
riak,ujub,bangga dengan pinjaman Allah. Siapalah kita untuk duduk bangga. Kita
hanya memiliki nikmat yang hanya akan hilang. Esok lusa Allah murka Allah tarik
balik.
Kesimpulannya, beringatlah
sahabat.. Kita ini sangat dekat dengan
akhir zaman. Usah kita jadi hamba Allah yang berada dalam kejahilan dan
kesesatan tanpa sedar. Ingatlah, dari mana kita datang, dan janganlah sampai
kita sesat sehingga mensyirikkan Allah.
Melebihkan Allah dari segalanya
seakan kita menjadi hamba kepadanya. Melebihkan material, nafsu, kuasa,
pangkat, darjat dan menyandarkannya pada diri sehingga melupakan Allah yang
memiliki segalanya seakan kita menafikan keagungan dan kesempurnaan Allah.
Takutlah kita pada dosa yang terhijab yang tanpa menyedarinya, kita
rupa-rupanya sudah pun berada didalamnya. Iyya uzubillah~
Justeru, sentiasalah betulkan niat
dan hati. Sesungguhnya apa yang Allah pinjamkan di dunia ini milik Allah. Ianya
akan hilang seperti mana dunia itu hilang. Andai merasa hebat dengan pinjaman
Allah, pohonkanlah kemaafan dan keampunan. Sungguh Allah itu Maha Pengampun
bahkan Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hambaNya.
sumber :
http://www.iluvislam.com



No comments:
Post a Comment